Translate

Wednesday 15 September 2010

Hari Malaysia dan Isu Sabah

Setelah sekian lama menunggu, akhirnya Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Najib Razak mengistiharkan 16 September sebagai cuti umum. 16 September juga akan diraikan bersama dengan rakyat Sabah esok. Bagi rakyat Sabah, tarikh ini amat signifikan kerana ia mengingatkan mereka tentang pembentukkan Malaysia pada 16 September 1963. Adakah pengiktirafan ini akan berjaya "melembutkan" hati rakyat Sabah dan seterusnya dapat mempertahankan kedudukan BN? Mungkin ya dan mungkin tidak.

Namun, bagi pendapat saya, BN perlu bekerja lebih keras dan tidak cukup dengan hanya memberi pengiktirafan kepada 16 September sahaja. Dalam tulisan ini, saya, antara lainnya, ingin mengulas kenyataan Ketua Menteri Musa Aman dua bulan lepas yang mana beliau mengatakan rakyat Sabah akan menolak pihak pembangkang yang "berangan-angan" untuk merampas Sabah daripada BN. Mengikut perkembangan semasa, ini memang benar lebih-lebih lagi dengan tumpuan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Sabah dan kelemahan pihak pembangkang mengimbangi populariti BN. Namun, Musa dan BN perlu berhati-hati kerana rakyat Sabah mampu membuat kejutan. Masih ingat tahun 1985 apabila Kerajaan Negeri pimpinan Harris Salleh daripada BERJAYA tumbang? Ramai yang tidak menyangka pemimpin kuat dan berpandangan jauh seperti Harris boleh ditundukkan oleh parti "underdog" PBS. Para pengundi hanya menunggu saat yang sesuai untuk mengekspresikan hak demokratik mereka. Aspirasi Musa dan BN untuk melihat Sabah kekal di bawah kuasa BN boleh tercapai jika perkara-perkara berikut ditangani segera.

1. Bertindak menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah. Musa dan BN hanya perlu menunjukkan kesanggupan politik ("political will") untuk menyelesaikan masalah ini. PBS sudah meletakkan "dateline" supaya isu ini dapat diselesaikan. Namun, Musa dan BN harus bertindak dengan lebih pragmatik. Mereka hanya perlu memilih sama ada:
  • mengekalkan PTI dan membenarkan mereka bekerja dalam sektor- sektor kritikal yang memerlukan buruh asing;
  • melaksanakan program komprehensif untuk menangani masalah PTI. Ini termasuklah membuat satu pelan tindakan yang mempunyai KPI ("Key Performance Index"). Jika KPI tidak tercapai, maka, Musa dan BN harus berani menerima kegagalan mereka. Agak aneh isu PTI tidak dimasukkan ke dalam NKRAs ("National Key Result Areas") yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Jala baru-baru ini. Segelintir pemimpin BN juga diam apabila rakyat Sabah menunjukkan kegusaran mereka; dan,
  • menghantar pulang semua PTI

Musa harus bertindak segera bagi mengembalikan keyakinan rakyat Sabah. Isu PTI harus ditangani secara "head-on" dan bukan "hangat-hangat tahi ayam".

2. Menyakinkan Sabah bahawa UMNO bukan datang untuk menjajah atau merampas sumber asli negeri tetapi membantu membangunkan sosio-ekonomi rakyat. Kita membaca baru-baru ini cubaan beberapa pemimpin UMNO untuk mengambilalih Tanjong Kapur, Merotai dan Putatan. Ini adalah sesuatu yang tidak sihat dan bercanggah dengan kenyataan Najib supaya ahli-ahli BN tidak menimbulkan isu peruntukan kerusi pilihanraya. Jika benar Musa dan BN serius, budaya politik UMNO harus diubah iaitu mengambil kira sensitiviti parti BN lain dan semua suku kaum di Sabah.

3. Memastikan ekonomi Sabah tetap mapan dan pembahagian kekayaan negeri dibahagi sama rata untuk kepentingan rakyat. Musa dan BN harus menumpukan kepada pembangunan infrastruktur seperti hospital, sekolah dan kemudahan awam. Musa dan BN harus meletakkan kebajikan rakyat sebagai prioriti. Musa dan BN juga harus memastikan harga barangan tidak dinaikkan sesuka hati oleh para peniaga. Di sebuah restoran di Luyang, semangkuk "Kolo Mee" dijual dengan harga RM7.00 - RM8.00! Begitu juga dengan harga rumah. Kebanyakkan golongan berpendapatan pertengahan tidak mampu membeli rumah terutama sekali yang berdekatan dengan bandar. Ini kerana harga rumah yang terlalu mahal dan dipengaruhi oleh faktor spekulasi. Jika mereka tidak mampu membeli rumah, apalagi golongan yang berpendapatan rendah. Musa dan BN harus melihat kepada kepentingan rakyat secara menyeluruh dan memastikan golongan tamak haloba tidak "mengambil kesempatan dalam kesempitan"

4. Antara aset penting Sabah ialah kekayaan flora dan faunanya. Musa dan BN harus memastikan khazanah penting ini dipelihara bagi kepentingan generasi akan datang. Mereka harus memastikan penerokaan sumber tenaga dilaksanakan secara "sustainable". Musa dan BN harus tegas dengan pendirian Kerajaan Negeri untuk tidak membina penjana kuasa arang batu di Lahad Datu. Jika Kerajaan Negeri serius dengan usaha penerokaan sumber tenaga alternatif, maka perancangan jangkamasa panjang haruslah dibuat dan dibentangkan kepada rakyat.

5. Selain kekayaan flora dan fauna, Sabah juga dikenali dengan masyarakat berbilang kaum. Musa dan BN harus serius dan berusaha mengekalkan keunikan masyarakat berbilang kaum Sabah dan memastikan layanan sama rata untuk semua etnik dan agama. Musa dan pemimpin BN lain haruslah mendahului pelaksanan polisi 1Malaysia kerana Sabah dianggap oleh Najib sebagai contoh atau model bagi perpaduan kaum di Malaysia. Polisi 1Malaysia ini tidak cukup hanya dilaung-laungkan dalam bentuk retorik kerana ia harus diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Mampukah Musa dan BN turun padang dan membuktikan 1Malaysia berjaya? Jika mampu, rakyat akan sokong termasuklah saya.

6. Musa dan BN harus menangani isu tanah. Ramai pemohon tanah menunggu lama untuk melihat permohonan mereka diluluskan. Musa dan BN harus mencari jalan untuk mengatasi masalah ini. Bagi saya, masalah ini boleh diselesaikan jika puncanya dikenalpasti dan ada keseriusan pada pihak tertentu untuk menyelesaikannya. Rakyat Sabah juga harus dilindungi supaya golongan tamak haloba tidak merampas tanah kepunyaan mereka.

7. Profesor Undang-Undang dan Sejarah Ranjit Singh membuat segelintir orang marah apabila beliau mengatakan sudah tiba masanya rakyat Sabah mengubah persepsi mereka tentang kedudukan Sabah dalam Malaysia. Beliau mengatakan Sabah adalah salah sebuah negeri dalam Malaysia dan bukan sebuah negara yang berhak mendapat layanan istimewa. Ini kerana pemimpin Sabah "bersetuju" untuk meletakkan Sabah di bawah sebuah persekutuan dan "akur" dengan lunas-lunas perlembagaan semasa Malaysia dibentuk. Secara teknikal, Ranjit memang benar tetapi Laporan IGC (Inter Governmental Committee) dan Perkara 20 telah dipersetujui untuk dijadikan asas bagi penyertaan Sabah ke dalam Persekutuan Malaysia. Maka, apa yang sudah dipersetujui haruslah dihormati. Ini kesempatan bagi Musa dan pemimpin BN Sabah untuk mengingatkan Kerajaan Persekutuan pentingnya Perjanjian Malaysia 1963 dihormati semua pihak. Bagi saya, tidak salah bagi Musa dan BN Sabah untuk merujuk perkara dalam Perjanjian Malaysia yang sudah dilanggar dan meminta Kerajaan Persekutuan menelitinya. Rakyat Sabah secara amnya bersetuju untuk terlibat dalam proses integrasi nasional tetapi ini harus dilaksanakan dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963.

Sebenarnya, banyak lagi perkara yang harus ditangai oleh Musa dan BN. Senarai yang saya berikan cumalah sebahagian yang sempat saya tulis. Sempena dengan sambutan Hari Malaysia, Musa dan pemimpin BN Sabah harus menggunakan kesempatan ini untuk menyalurkan isi hati rakyat Sabah mengenai isu-isu negeri yang sudah lama dan masih belum dapat diselesaikan. Sebagai pengundi, saya berhak menyarankan cadangan kepada Musa dan BN (termasuk wakil rakyat saya di Sipitang) supaya bekerja lebih keras demi membangun rakyat dan negeri Sabah. Pemimpin yang baik ialah seorang yang akur dan tunduk kepada kemahuan rakyat, dan bersedia untuk menampilkan sikap kebertanggungjawaban ("accountability"). Pemimpin-pemimpin kita harus belajar daripada pemimpin-pemimpin negara Britain dan Amerika Syarikat. Mereka dibayar mahal dan sanggup "dibuang" jika pengundi merasakan mereka tidak berperanan seperti yang diharapkan.

Jika Musa dan BN bersedia untuk mendengar luahan hati rakyat dan bekerja dengan lebih keras, maka, mereka tidak perlu risau dengan aktiviti pihak pembangkang. Pihak pembangkang pula haruslah mengimbangi lawan mereka dengan memperkenalkan polisi-polisi alternatif dan bukan menyerang peribadi lawan.

Dan yang paling penting, marilah kita rakyat Malaysia menggunakan kesempatan ini untuk memperbaharui komitmen kita mempertahankan negara Malaysia yang berbilang kaum, berbilang agama, stabil dan aman.

Selamat Menyambut Hari Malaysia!!!